Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Press Room

Manage PermissionsManage Permissions
31 Ogos 2021 - TITAH PERUTUSAN TAHNIAH KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA YANG DIPERTUAN AGONG MALAYSIA BERSEMPENA DENGAN ULANG TAHUN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 64


QAULUHUL-HAQ


ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKAATUH

Warkatul ikhlas watuhfatul ajnas iaitu daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kiranya datang Ke Majlis Seri Paduka Anakda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DKP., DKM., DK., DMN., SSAB, SIMP., DK(Terengganu)., DK(Johor)., SPMJ., PAT., DKMB(Brunei)., Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ke-XVl, yang bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur, Malaysia, dengan beberapa kemuliaan dan kesejahteraannya.

Waba'dah, ehwal adalah Paduka Ayahanda, Kerajaan Paduka Ayahanda berserta rakyat Negara Brunei Darussalam dengan tulus ikhas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Anakda, Kerajaan dan rakyat Malaysia bersempena dengan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-64.

Paduka Ayahanda sangat menghargai tali persahabatan serta hubungan kerjasama dua hala yang sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. Kedua-dua buah negara terus bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama yang mewujudkan semangat setiakawan yang mesra dan erat. Paduka Ayahanda percaya hubungan bermakna ini akan dipertingkatkan lagi demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.

Bagi mengakhiri warkah Paduka Ayahanda ini, Paduka Ayahanda berserta Paduka Bonda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berdo'a Kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar sentiasa mengurniakan kesejahteraan dan kesihatan yang berpanjangan kepada Seri Paduka Anakda dan Seri Paduka Anakda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta Ahli Kerabat Diraja, dan semoga Kerajaan serta rakyat Malaysia terus menikmati keamanan yang berkekalan.

Sekianlah Paduka Ayahanda maklumkan dan disudahi dengan salam takzim serta do'a yang tiada khali jua adanya.

WASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAKAATUH


Termaktub di Istana Nurul Iman,
Bandar Seri Begawan,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM




Attachments
Back to Top